بسم الله الرحمن الرحيم
Pihak PEMBELA (Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam)
memandang serius kenyataan media yang dibuat oleh beberapa pihak dengan motif
untuk mencabar Majlis Fatwa Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Negeri
Selangor berikutan pewartaan Fatwa Mengharamkan Pertubuhan berkait Islam
Liberal di negeri Selangor.
Sebagai sebuah badan berotoriti dan diberi kuasa untuk
menjalankan tugasan mereka di bawah undang-undang negeri dan negara, kuasa
untuk mewartakan serta menguatkuasakan fatwa adalah selari dengan undang-undang
sedia ada.
Kemunculan pihak-pihak yang kebanyakannya bersuara bagi
menjalankan agenda asing untuk negara ini sejak sekian lama telah cuba
mengganggu gugat sistem sedia ada untuk motif jangka panjang pihak-pihak
tertentu.
Agenda mencairkan pegangan Islam di kalangan penduduk
Malaysia yang taat dan setia kepada akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) cuba
dijalankan secara terancangan melalui bantuan luar.
Nama-nama
agensi luar negara seperti RAND Corporation,
National Endowment for Democracy (NED),National Democratic Institute
(NDI),
Council of Foreign Relation (CFR), Konrad Adeneur Foundation (KAF) dan
pelbagai agensi asing yang sentiasa cuba masuk campur di dalam urusan
negara ini.
Satu per satu pihak-pihak yang cenderung dengan agenda
memperkasakan agenda SEPILIS (Sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme) di dalam
negara muncul mendedahkan warna perwatakan mereka melalui sokongan yang
diberikan SIS Forum Sdn. Bhd.
Satu rahmat bagi Malaysia apabila perwatakan yang selama ini
disembunyikan, kini didedahkan mereka melalui sokongan tidak berbelah bahagi
kepada tindakan SIS Forum Sdn. Bhd., syarikat swasta yang ingin membuat semakan kehakiman ke atas fatwa yang dikeluarkan MAIS.
PEMBELA ingin menyatakan bantahan keras terhadap tindakan
SIS Forum Sdn. Bhd. dan penyokong-penyokong mereka seperti Anwar Ibrahim, Mujahid Yusof Rawa,
Khalid Samad, Hanipa Maidin, Zaid Ibrahim dan lain-lain lagi yang menyokong tindakan
perundangan diambil bagi mencabar fatwa berkenaan fahaman sesat Islam Liberal
tersebut.
PEMBELA yang mewakili lebih 70 NGI menyatakan solidariti
kukuh dibelakang MAIS dan Majlis Fatwa Negeri Selangor di dalam mendepani
cabaran kebiadaban golongan pendukung SEPILIS.
Pihak PEMBELA
juga ingin memberi amaran keras kepada pihak-pihak ini supaya jangan
cuba membudayakan sikap biadab dengan menentang badan otoriti yang
menjalankan kuasanya sepertimana yang dibenarkan melalui undang-undang
negara.
Dengan ini, PEMBELA akan menggerakkan seluruh sokongan akar
umbi rakyat Malaysia yang cintakan jalan akidah yang lurus untuk bersama-sama
berjuang menentang golongan pendukung SEPILIS serta mengecam kebiadaban
boneka-boneka asing yang cuba mengubah dan merosakkan jati diri identiti Agama
Negara ini iaitu agama Islam.
Bersama Kami Mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara.
Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin,
Pengerusi,
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan