Rabu, 9 November 2016

"Kita Persatuan Seni Gayung Pusaka Malaysia tak campur masalah orang lain.."

بسم الله الرحمن الرحيم.

Image result for pak ndak majid

Guru Utama Seni Silat Gayung Pusaka Malaysia, Majid Mat Isa memberi amaran kepada semua anak muridnya agar tidak menyertai himpunan yang dianjurkan oleh gerakan baju merah.

Majid berkata, ini kerana pertubuhan silat itu tidak mencampuri urusan politik demi menjaga nama baik persilatan.

"Mana-mana anak silat yang menyertai mana-mana himpunan mahu pun yang dijadualkan akan datang saya akan balun dan tentang mereka.

"Kita juga telah memberi arahan kepada anak-anak gayung Pusaka jangan sertai himpunan akan datang. Kalau sertai juga dan kita dapat tahu, kita akan panggil dan ambil tindakan kepada mereka," kata Majid kepada Malaysiakini.

Malah, tegas Majid, aksi silat yang dipersembahkan pada himpunan membantah portal berita Malaysiakini Sabtu lalu bukan dari persatuan seni silat itu.

"Kita Persatuan Seni Gayung Pusaka Malaysia tak campur masalah orang lain dan yang pandai-pandai tunjuk silat hari itu pun bukan dari anak silat kita tetapi orang yang mahu busukkan nama silat gayung.

"Ini semua manusia kurang ajar yang hanya mencari kesempatan," keluh Majid dengan nada kesal.

Dalam protes di pejabat Malaysiakini pada Sabtu, beberapa anggota pergerakan baju merah mengadakan demonstrasi seni mempertahankan diri.

Mereka menunjukkan kehebatan dengan membenarkan diri mereka dipukul berulang kali menggunakan keping kayu.

Malah, salah seorang peserta memecahkan batu blok dengan kepalanya.

Baju merah ditubuhkan bagi menentang gabungan pendesak pembaharuan pilihan raya, BERSIH.  

Ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, yang memimpin baju merah berikrar menghimpunkan 300,000 peserta sebagai himpunan balas bagi membantah perhimpunan BERSIH yang dijadual pada 19 November ini.

Isnin, 7 Mac 2016

Macam ni punya cerita.....

بسم الله الرحمن الرحيم.

Dulu..sebelum timbul cerita PASMA, G18, GHB, dan umpamanya dah berbunyi cerita pasal Geng Erdogan. Saya tak kenal pun siapa Erdogan masa tu. Lama lepas tu baru tau yang Erdogan tu ialah Recep Tayyip Erdogan, Presiden Turki la ni. Hairan juga..pasal apa nak dikaitkan dengan orang yang jadi ikon sebahagian orang haraki ni. Rupa-rupanya Erdogan ni belot terhadap gurunya, iaitu la Arbakan. Justeru dinamakan geng tersebut dengan Erdogan adalah mumkin sebagai tanda belot kepada pimpinan PAS kot. Tu cerita dulu..la ni dah jadi PAN dah.
PKR dan DAP macam tu la depa..penuh dengan drama dan strategi licik lagi jahat. PAN ganti PAS dok dengan depa ni..jadi la PH. Sokongan rakyat?..Tunggu la tengok PRU14 ni.
Sejak 1MDB meletup UMNO dah bergegar. Ada pro DS Najib ada pro Tun. Macam-macam yang terjadi..sampai MB Kedah pun kena tukar. Hebat krisis depa ni. La ni Deklarasi Rakyat tengah dok tersebar. Kelam kabut juga orang orang atas UMNO ni. 
Macam ni punya cerita, nampak gayanya PRU14 ni saya tak pi mengundi juga la macam PRU13 lepas.


Sabtu, 6 Februari 2016

Latest from TS Muhyiddin Yassin:

بسم الله الرحمن الرحيم.


Dalam beberapa waktu ini, saya mengambil sedikit masa untuk menyelami persoalan-persoalan yang sering berlegar di fikiran saya berkenaan hal-hal yang berlaku di negara kita pada waktu ini. Ikhlas saya katakan, sebagai seorang yang telah lama berkecimpung dalam dunia politik dan berpengalaman terlibat secara langsung dalam pentadbiran negara, tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa kita akan berada dalam situasi yang serumit hari ini.
Ke mana-mana sahaja saya pergi, pasti ada orang yang bertanya apa sudah jadi dengan Malaysia. Ternampak di wajah mereka satu perasaan yang sukar digambarkan. Kecewa, putus harap, bimbang, berang semuanya ada. Malah ada yang mengatakan bahawa mereka sudah naik mual dengan apa yang berlaku. Mereka sudah tidak percaya lagi kepada orang yang diamanahkan untuk memimpin kerana ramai yang mengkhianati amanah.
Ketika rakyat sedang bergelut dengan masalah kos sara hidup, beban cukai GST, kejatuhan nilai matawang, kehilangan pekerjaan, ada pemimpin yang disahkan menerima kemasukan wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi, dan wang ini digunakan untuk perbelanjaan peribadi. Lebih menyedihkan, antara sumber wang ini adalah daripada syarikat yang mendapat dana daripada tabung awam.
Namun, amat pelik apabila penerimaan wang yang bersumberkan dana awam oleh seorang pemimpin negara tidak dianggap sebagai satu kesalahan. Malah, siasatan ke atas laporan salah laku dan rasuah melibatkan orang berkenaan diarahkan ditutup.
Apa sudah jadi dengan negara kita? Kita tahu bahawa sebelum ini terdapat penjawat awam, ahli perniagaan dan ahli politik yang disiasat, didakwa dan akhirnya dihukum kerana menyalahgunakan dana awam dan menerima rasuah. Tetapi dalam skandal kewangan terbesar di negara kita yang melibatkan 1MDB dan SRC International, tiada sesiapa pun didakwa.
Malah terdapat pihak yang secara terang-terangan mempertahankan dan melindungi salah-laku orang-orang tertentu walaupun saya tahu jauh di sudut hati mereka, mereka juga tahu apa yang berlaku.
Di manakah nilai kejujuran, kebenaran dan keadilan yang kita semua sanjung? Adakah nilai-nilai ini sudah tiada ertinya lagi? Adakah yang bertakhta cuma sikap rakus dan tamak haloba untuk merebut kesenangan dunia semata-mata? Atau, adakah seluruh jiwa telah diselimuti oleh perasaan takut dan bimbang untuk menyatakan kebenaran dan menghapuskan kebatilan?
Saya perhatikan masalah besar yang sedang melanda negara kita ialah ketiadaan roh perjuangan untuk berpegang kepada prinsip-prinsip murni dalam kehidupan. Kerana itu berlaku masalah pecah amanah, tiada tanggungjawab terhadap rakyat dan mungkin tiada perasaan takut kepada balasan Allah s.w.t.
Kemelut yang berlaku nampaknya seperti tiada kesudahan. Misteri kehilangan wang dan harta negara tidak akan terungkai, walaupun bagi yang mengetahui ia seperti rompakan di siang hari. Pelbagai cerita akan terus direka untuk mengaburi mata rakyat demi melindungi salah laku individu tertentu. Keadilan yang ditagih tidak akan tertegak dengan mudah. Awan gelap akan terus meliputi negara kita untuk beberapa ketika.
Walupun jelas tergambar perasaan duka dan kecewa di wajah orang-orang yang saya temui, termasuk sahabat handai dan mereka yang tidak saya kenali, jauh di sudut hati mereka masih menaruh harapan. Harapan agar Malaysia dapat diselamatkan. Supaya Malaysia kembali pulih dan tidak menjadi sebuah negara yang gagal.
Ini permulaan kepada satu perjuangan. Perjuangan untuk memulihkan Malaysia. Perjuangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik. Kerana kita semua berhak untuk menikmati setiap kebaikan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada negara kita.
Jika bersendirian kita tidak akan punya kekuatan. Tetapi jika kita semua bersatu hati, membuka minda dan nurani untuk melihat kebenaran, melawan kemungkaran dan bertindak untuk menjadikan masyarakat dan negara kita lebih baik daripada hari ini, maka nescaya kita akan berjaya jua akhirnya.
Bagi saya, dalam hidup kita mesti ada prinsip. Prinsip yang paling utama ialah berpihak kepada kebenaran. Jangan sekali-kali kita berpihak kepada kebatilan. Sebagai seorang Muslim, ini adalah tuntutan agama.
Justeru, saya tidak akan berpaling daripada perjuangan menegakkan kebenaran. Saya yakin, seluruh rakyat Malaysia berpendirian yang sama dan saya akan terus bersama-sama anda dalam perjuangan ini!
Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah s.w.t. mudah-mudahan kita semua sentiasa diberikan kekuatan oleh-Nya. Amin Ya Rabbal Alamin!
TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
5 Februari 2016

Khamis, 4 Februari 2016

Tukar..

بسم الله الرحمن الرحيم.

Masya-Allah..
Tukar sudah.
Tok Mad Bashah MB baru Kedah.
Katanya hari ni angkat sumpah.
Untuk jawatannya jadi sah.
Semoga buat kerja dengan amanah.
Masa Dato' Seri Syed Nahar Bin Tun Syed Sheh Shahabuddin dan Tan Sri Haji Osman Bin Haji Aroff jadi MB dulu, saya tak tau sangat pun..kecik lagi. Masa Tan Sri Sanusi Bin Junid, kecoh la juga dengan ideanya. Macam-macam orang kata kat ideanya..pelik dan macam-macam kata depa. Pelik juga sebab pelawak Korea, Park Sungkwang dan kawan-kawan dia buat idea pelik Tan Sri ni, depa buat kebun sayur dan tanam padi atas sutuh. Lepas tu tukar dengan Dato' Seri Haji Syed Razak Bin Syed Zain Barakhbah jadi MB. Lepas tu Dato' Seri Diraja Haji Mahdzir Bin Khalid pula jadi MB. Masa ni la buat asrama pelajar Kedah yang ketiga kat Mesir, tapi MB Mahdzir Khalid tak dan rasmi sebab masa bangunan siap yang jadi MB ialah Tan Sri Dato' Seri DiRaja Ustaz Haji Azizan Bin Abdul Razak. Ustaz Azizan la yang pi rasmi. Masa Ustaz Azizan KUIN pindah pi Kuala Ketil..kat Alor Setar untuk medik. Lepas tu Dato' Seri Mukhriz bin Tun Dr Mahathir pula jadi MB. Tak dan habis sepenggal, tak dan-dan depa minta tukar MB. Dato' Seri pun letak la jawatan tadi. Dapat la kami orang Kedah MB baru, katanya Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bakal angkat sumpah esok. Doakan yang terbaik untuk kesejahteraan kita semua.
الله المستعان و عليه التكلان

Selasa, 2 Februari 2016

HENTIKAN SEGERA KRISIS, UTAMAKAN KEPENTINGAN RAKYAT.

بسم الله الرحمن الرحيم.

 ADUN Alor Mengkudu dari parti PAS, Ahmad Yahya berkata 15 wakil pembangkang datang dengan kata sepakat bahawa mereka menyokong Mukhriz.

"Kami tak boleh setuju cara Umno mahu menyingkirkannya. Oleh itu, kami sepakat bahawa kami tidak mahu perubahan.

"Ini adalah kehendak rakyat juga," katanya kepada pemberita selepas meninggalkan bangunan itu pada kira-kira jam 4 petang.

HENTIKAN SEGERA KRISIS, UTAMAKAN KEPENTINGAN RAKYAT
1. Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi junjungan kasih ke atas Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang turut menjemput semua ADUN dari parti pembangkang bagi mendapatkan pandangan berhubung kemelut yang berlaku di negeri Kedah sekarang. Tindakan yang diambil oleh pihak Istana ini adalah merupakan satu langkah terpuji, menghormati prinsip demokrasi serta hak-hak rakyat.

2. Semua ADUN Pembangkang Kedah mengambil sikap bersama; membantah sekeras-kerasnya tindakan sebahagian pemimpin BN negeri ini yang cuba menurunkan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir dari kedudukannya selaku Menteri Besar melalui cara yang tidak bersusila. Lebih mendukacitakan, tindakan tidak beradab tersebut dibuat sewaktu negeri ini sedang dalam tempoh meraikan Hari Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Kedah. 
3. Jika Dato’ Seri Mukhriz dinaikkan melalui laluan demokrasi maka proses menurunkannya juga mestilah dibuat mengikut amalan demokrasi, tidak gopoh, berperaturan serta menghormati kehendak rakyat. Tidak wajar hanya kerana mahu memenuhi kehendak politik individu tertentu maka semua pihak disusahkan; termasuk rakyat dan pihak istana. 
4. Bagi kami, pada ketika ini, tindakan menukar Menteri Besar Kedah tidak menjadi keutamaan berbanding dengan keperluan menukar Perdana Menteri Malaysia yang telah banyak menyusahkan rakyat.

5. Kami menggesa agar masalah kepimpinan utama Kerajaan Kedah ini diselesaikan dengan segera, kerana krisis yang berlarutan akan membantutkan urusan pentadbiran negeri yang membawa kesan buruk terhadap rakyat. Jika kemelut menghadapi jalan buntu, maka pilihan terbaik ialah penyelesaian mengikut amalan demokrasi menerusi suara rakyat melalui penentuan di Dewan Undangan Negeri. 
Sekian, terima kasih. 
ADUN2 Pembangkang Kedah
Bertarikh: 2 Februari 2016
Sumber; Blog Anak Sungai Derhaka. 

Ahad, 31 Januari 2016

KENYATAAN AKHBAR.

بسم الله الرحمن الرحيم.

Di saat rakyat Negeri Kedah Darul Aman sedang bergembira meraikan Ulangtahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah yang ke-88, sekumpulan pemimpin UMNO negeri ini telah bertindak mendesak saya berundur dari jawatan Menteri Besar.

Tindakan 12 Ketua Bahagian dan dua Timbalan Ketua Bahagian mengheret sama ketua-ketua sayap dan pemimpin muda dalam UMNO mengadakan sidang media di Alor Setar pada 20 Januari 2016 lalu adalah tidak bertanggungjawab.

Malah sebilangan yang hadir pada sidang media tersebut telah maklum kepada saya bahawa mereka tidak mengetahui terlebih dahulu tujuan dan intipati kenyataan yang dibuat. Saya percaya desakan mereka tidak mewakili suara majoriti ahli UMNO dan yang lebih penting lagi, kehendak rakyat Negeri Kedah.

Perbuatan kumpulan ini telah mencemar pelbagai acara sambutan Ulangtahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah. 

Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan Menteri Besar, saya telah menerima khabar sesungguhnya Duli Tuanku Sultan dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan perbuatan kumpulan tersebut.

Yang lebih dikesali apabila tindakan itu disertai beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang sudah berikrar taat setia kepada Raja Pemerintah ketika mengangkat sumpah jawatan masing-masing.

Turut mendukacitakan, rentetan dari sidang media tersebut, enam daripada sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak menghadiri Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Kedah pada hari Rabu, 27 Januari 2016 yang lalu. Ini jelas sekali menyalahi peraturan pelantikan mereka sebagai Penjawat Awam dan ingkar dengan sumpah jawatan yang diangkat di hadapan Raja Pemerintah, seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.

Sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, keengganan menghadiri Mesyuarat EXCO menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan yang telah diatur oleh Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program dan aktiviti pembangunan untuk rakyat di negeri ini. Saya dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan turut murka dengan keingkaran Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkenaan.

Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, saya dengan rasa rendah diri memohon ampun kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah di atas perbuatan segelintir ahli UMNO yang telah mencemari kemuliaan Duli Tuanku Sultan dan kemeriahan majlis sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah.

Saya mendesak agar kesemua 14 Ketua UMNO Bahagian yang terlibat secara langsung mahupun tidak dengan sidang media pada 20 Januari 2016 lalu, dan enam orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang tidak hadir Mesyuarat EXCO pada 27 Januari 2016 segera memohon maaf secara rasmi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Sehingga kemelut ini selesai, semestinya setiap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Udangan Negeri melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Raja Pemerintah dan rakyat baginda, seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.

DATO’ SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR

Menteri Besar Kedah Darul Aman

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah

Dikeluarkan di Alor Setar, Kedah bertarikh 31 Januari 2016





Allahyarham Ustaz Azizan besa pesan.......

بسم الله الرحمن الرحيم.

" Hangpa kalo nak rampas kerajaan atau pun jawatan MB ni tunggu la dulu..saya ni macam drebar bas la, dok tengah sedap bawa bas hangpa tak dan-dan nak rentap stereng!!!Tunggu la saya parking elok-elok dulu, bukan saya ja atas bas ni, nun ramai lagi penumpang dok belakang...hangpa rentap ikut dan berselerak habis!!! "