Isnin, 29 September 2014

Misteri MB Azmin: Langkah 2A, kisah 2 Tan Sri dan RM3.2b

بسم الله الرحمن الرحيم


Oleh 

RAMAI yang terkejut Langkah Kajang berakhir dengan Azmin dan bukannya Azizah sebagai MB Selangor.
Bagi sesiapa yang mengetahui 'keakraban' Anwar-Azmin memang daripada awal menjangkakan sebenarnya Langkah-2A adalah untuk Azmin.
Begitu kelicikan politik Anwar-Azmin yang langsung tidak dihidu oleh sesiapa kecuali mereka yang kenal benar dengan 2A ini.
Anwar sanggup 'mengatur' perang dengan Pas dan Istana, sementara membisukan Azizah dengan strategi licik.
Anwar tahu jika dia terus mengumumkan Azmin pengganti Khalid, Azizah akan membantah keras.
Kelicikan Anwar ialah dia tahu mana isu itu akan 'landing'.
Dia tahu Azizah tidak akan diterima sebagai MB sama ada oleh Istana mahupun Pas.
Jadi dia menunjukkan kesungguhan mengumumkan Azizah sebagai calon MB dengan pengetahuan bahawa ia akhirnya akan ditolak, sambil memberitahu Azmin supaya 'play cool'.
Sebab itu usaha dibuat supaya Pas yang menamakan Azmin bukan PKR. Dan Pas terperangkap dengan mainan itu apabila Hadi Awang sendiri yang mengusulkan nama Azmin.
Sebab itu kaum Anwarinas bertakbir sakan apabila Hadi yang usulkan nama Azmin dalam mesyuarat Pas Pusat.
Sekarang Azizah tak boleh merajuk sebab Anwar nampak sudah berusaha keras untuk menamakan dia sebagai MB.
DAP pula menarik nafas lega! Daripada bagi ustaz Pas jadi MB lebih baik Azmin.
Kelicikan Langkah Kajang ialah apabila mereka berjaya meyakinkan UMNO bahwa kalau bubar DUN pun UMNO tidak akan menang, malahan mungkin hilang banyak kerusi lagi.
Ini menyebabkan UMNO memberi isyarat bahawa ia tidak bersedia menghadapi PRN!
Dan piala terbesar Langkah 2A ini ialah apabila pimpinan tertinggi UMNO berjaya diyakinkan bahawa Azmin adalah calon terbaik untuk penyelesaian kemelut Selangor.
Penglibatan dua orang bergelar Tan Sri yang dikatakan mempunyai talian dengan Istana melobi keras untuk Azmin menjadi MB dikatakan pengunci Langkah 2A.
Kononnya, perjumpaan mereka dengan pimpinan tertinggi UMNO Khamis lepas membawa mesej bahawa Putrajaya tidak ada bantahan jika Azmin yang dilantik sebagai MB.
Jadi pihak Istana sudah tiada pilihan. Sebenarnya Istana sudah melakukan yang terbaik.
Maklumat sahih memberitahu Tuanku telah memberi tawaran kepada ADUN Pas untuk menerima lantikan sebagai MB.
Seorang kononnya berkata semasa diinterview: "Patik ada penyakit dan tak boleh menghadapi tekanan" dan seorang lagi memberi alasan "tak sanggup terima cabaran".
Bagi Tuanku sifirnya mudah. Perkara 53 memberi kuasa kepada Tuanku melantik MB daripada mereka yang pada pandangan Tuanku mendapat sokongan majoriti ADUN.
Pas mempunyai 15 ADUN. Dan dengan sokongan ADUN UMNO (12 orang) dicampur Bebas (Tan Sri Khalid) menjadikan 28 orang. PKR pula ada 13 dicampur DAP 15 juga menjadi 28.
Tetapi jika undi dibuat, gabungan PKR-DAP akan tinggal 27 kerana Hannah Yeoh sebagai Speaker tidak boleh mengundi.
Atas dasar itu, tawaran dikemukakan kepada ADUN Pas. Malangnya, mereka mahu mendapat mandat jelas daripada muktamar agung. Sebab itu tarikh pengumuman dibuat hanya selepas muktamar.
Malangnya Muktamar Agung Pas tidak memberi mandat yang jelas dan tegas untuk ADUN mereka menerima jawatan MB.
Walaupun ada cubaan daripada Dewan Ulama untuk usul itu dibahas dan diluluskan, namun perwakilan gagal memberikan mandat yang diperlukan.
Sebaliknya menyerahkan kepada Tuanku untuk memutuskannya, ditambah dengan kenyataan jawatan MB Selangor adalah hak PKR.
Sebab itu Tuanku tiada pilihan. Azizah tidak boleh diterima. Pas sendiri tidak tegas dan jelas. UMNO pula tidak bersedia.
Dan Putrajaya pula, kononnya atas usaha gigih dua Tan Sri itu, memberi mesej boleh menerima Azmin.
Maka Tuanku berakhir dengan kedudukan tiada pilihan melainkan terpaksa melantik juga Azmin sebagai MB.
Sebab itu saya tidak terkejut setelah berhempas pulas berbulan lamanya menamakan Azizah, setelah berperang dengan Istana dan Pas, setelah memecat Tan Sri Khalid kerana tidak akur arahan parti memberi laluan kepada Azizah, akhirnya dalam tempoh tak sampai 12 jam pengumuman oleh Istana menamakan Azmin, Majlis Pimpinan Tertinggi PKR bermesyuarat dipengerusikan Anwar membuat U-Turn menerima pelantikan Azmin.
Dan yang paling klasik, Azizah membuat kenyataan menarik balik pencalonan dirinya sebagai MB.
Begitu liciknya Langkah 2A!
Dan sekarang, sudah pasti Azmin akan melantik semula Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.
Dan sudah pasti mereka akan memerah fikiran bagaimana wang simpanan tunai RM3.2 bilion yang dikumpul oleh Tan Sri Khalid mahu dibelanjakan.
Dan yang pastinya, 2A ini mempunyai matlamat yang jelas - Anwar tidak boleh masuk penjara, dan Anwar mesti jadi PM ke-7.
Yang akan termenung dan ternganga nanti ialah UMNO, Pas dan Azizah!



Jumaat, 26 September 2014

[Perkara 18(1), 19(9)]

بسم الله الرحمن الرحيم

JADUAL PERTAMA
[Perkara 18(1), 19(9)]
Sumpah Pemohon bagi Pendaftaran atau
Penaturalisasian

Saya.....................................................................................................beralamat di.............................................................................................
dengan ini mengaku atas sumpah bahawa saya dengan sesungguhnya dan sepenuhnya menolak dan bersumpah meluputkan segala kesetiaan saya kepada mana-mana negeri atau Negara di luar Persekutuan, dan saya bersumpah bahawa saya akan jujur dan menumpahkan segala taat setia saya yang sebenar kepada Seri paduka beginda Yang di-Pertuan Agong dan akan menjadi seorang warganegara Persekutuan yang sebenar, setia dan jujur.
_____________________________________________
CATATAN
Jadual Pertama:
Perkataan "seseorang warganegara Persekutuan yang sebenar, setia dan jujur, dan akan menumpahkan taat setia yang wajar kepada semua pihak berkuasa yang ditubuhkan dengan sah di dalam Persekutuan" digantikan ddengan perkataan "akan jujur dan menumpahkan segala taat setia saya yang sebenar kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertaun Agong dan akan menjadi seorang warganegara Persekutuan yang sebenar, setia dan jujur" oleh Akta 14/1962, seksyen 26, berkuat kuasa dari 1-10-1962.


Itulah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Sumpah generasi pertama pendatang yang datang bertandang dahulu. Adakah generasi dema yang terkemudian mengikut jejak langkah moyang dema?

Isnin, 8 September 2014

KENYATAAN AKHBAR ISTANA ALAM SHAH.

"Patutkah Akta Hasutan dimansuhkan? Jawapan saya: tidak. Patutkah ia dipinda? Jawapan saya: Ya."

بسم الله الرحمن الرحيم

"..orang Melayu “tamak” kerana hendak mencapai 30% ekonomi negara! Bagaimana dengan mereka yang sudah mempunyai 80% tetapi mahu lebih?.."


Kata Tun Abdul Hamid Mohamad lagi;

".......keadaan berubah di kebelakangan ini. Orang Melayu berpecah kerana leka dengan sedikit kemakmuran yang baru dirasai, ketaksuban kepada parti dan pemimpin dan kehadiran pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong yang oportunis yang tidak kira apa yang akan terjadi kepada bangsa, negara dan agama asalkan cita-cita mereka tercapai. Maka orang Melayu berpecah dengan seriusnya. Kumpulan pengundi majoriti menjadi minoriti. Kumpulan minoriti memperalatkan sebahagian pengundi Melayu untuk kepentingan mereka dan orang Melayu tidak sedar.
Melihat keadaan itu, kumpulan-kumpulan yang memang pandai mengira untung-rugi, terus mengatur perancangan mereka. Mereka membuat perancangan teratur untuk merampas kuasa melalui peti undi, dengan bersatu padu sesama sendiri sambil memperalatkan parti-parti Melayu dan orang Melayu yang naif itu. Mereka hampir berjaya.
Sambil itu kumpulan-kumpulan ekstremis mula membuat tuntutan-tuntutan yang bukan-bukan, menyerang hak-hak orang Melayu, menghina lagu Kebangsaan, menghina bendera Malaysia, menghina Institusi Raja-Raja, menghina pemimpin-pemimpin Melayu dan menghina agama Islam. Ketiadaan tindakan tegas terhadap mereka dilihat oleh mereka sebagai tanda kelemahan dan mereka menuntut lebih lagi.
Pendekatan mereka adalah bersifat ugutan dan bisnes: jika mahu perpaduan berikan kami hak yang sama dan kebebasan sepenuhnya. Dalam kata-kata lain, mereka mahu faedah yang diberikan kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dihapuskan. Ertinya, mereka mahu perizaban kadar dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa, keistimewaan pendidikan dan latihan, permit, lesen dan sebagainya dihapuskan. Semua mesti diberi atas dasar merit. Mereka tahu mereka menguasai ekonomi dan berada di hadapan dalam bidang pelajaran. Mereka tinggal di bandar-bandar besar di mana terdapat semua kemudahan dan exposure. Apabila pemilihan cuma dibuat berdasarkan kelulusan akademik, merekalah yang akan membolotnya. Tak cukup dengan itu, mereka mahu UiTM juga dibuka kepada mereka!
Rata-rata orang bukan Islam di Malaysia tidak senang dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Mereka mahu agama-agama mereka juga diberi kedudukan yang sama. Mengikut mantan Mufti Pulau Pinang, di Pulau Pinang telah berlaku satu peristiwa di mana di perasmian sebuah bangunan oleh Timbalan Ketua Menteri, doa dibacakan oleh seorang Paderi Kristian, seorang Sami Hindu dan Imam Masjid Negeri. Saya amat hairan mengapa Imam Besar pun turut menyertainya. Tidakkah beliau berfikir?
Saya amat sedih melihat orang Melayu dan Islam begitu naif sehingga mereka begitu mudah diperalatkan sehingga sanggup bertakbir dan bergolek di atas jalan raya sedangkan orang bukan Islam yang untung.
Saya juga hairan mengapa ada orang-orang yang dikenali sebagai ulama’ tidak nampak muslihat gereja Roman Katolik yang hendak memakai kalimah “Allah” dalam Bible Bahasa Melayu dan upacara gereja dalam Bahasa Melayu selepas 500 tahun kecewa mengkristiankan orang Melayu secara besar-besaran. Mereka merujuk kepada penggunaan kalimah Allah di bumi Arab tanpa menganalisis berbezaannya. Kita perlu lihat isu itu dalam konteks Malaysia.
Hinggakan, apabila sami Buddha mengadakan upacara sembahyang di surau di sebuah hotel pun, ada “ilmuwan Syariah” yang mengatakan Rasul Allah pernah membenarkan orang Kristian bersembahyang dalam masjid. Tidakkah mereka nampak perbezaannya?
Kisah itu melibatkan ahlil-kitab yang beriman dengan Allah dan di peringkat awal kerasulan Muhammad ﷺ dan cara mereka bersembahyang pun tidak mencemarkan kesucian masjid. Jika dibenarkan penganut-penganut agama yang ada di Malaysia bersembahyang dalam masjid, apa akan jadi? Bukan sahaja masjid akan busuk dengan bau gaharu, babi panggang pun akan dibawa masuk ke masjid, sebab di bulan hantu lapar “offering” kepada hantu lapar adalah sebahagian daripada upacara sembahyang mereka.
Mantan Mufti Pulau Pinang juga memberitahu saya adalah susah mendapat peruntukan untuk aktiviti agama Islam di Pulau Pinang, kerana pemimpin-pemimpin agama-agama lain juga menuntut hak yang sama. Jika kita tidak membendungnya, perkara seperti ini akan merebak ke seluruh Malaysia. Pada waktu itu, waktu penyiaran rancangan-rancangan agama Islam di televisyen pun akan terpaksa dikongsi dengan agama-agama lain. Jabatan-jabatan Kerajaan dan kampus-kampus universiti kerajaan yang menyediakan surau akan terpaksa menyediakan gereja, to’kong-to’kong dan gurdwara, memberi hanya dua misalan. Ertinya, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sudah tidak bermakna lagi. Peruntukan agama Islam sebagai agama Persekutuan mungkin dimansuhkan atau kesemua agama akan dijadikan agama Persekutuan. Tidakkah orang Islam berfikir?
Kumpulan ini sangat tidak puas hati dengan peruntukan Perlembagaan yang tidak membenarkan orang bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada orang Islam. Selain dari itu, mereka pergi ke merata dunia untuk memburukkan Islam kerana Islam tidak membenarkan penganutnya murtad, kerana Islam membolehkan poligami, kerana Islam mengharamkan liwat, membuat tuduhan Islam mendiskriminasikan orang perempuan kerana pembahagian pusaka yang tidak sama rata dan lain-lain. Soalan saya: Mengapa mereka membantah hal-hal mengenai agama Islam pada hal kita tidak pernah membantah mereka membakar kereta kertas, duit neraka (hell money) atau mencucuk pipi mereka dengan besi dan lain-lain.
Mereka juga tidak puas hati dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Mereka mahu Bahasa mereka juga diberi kedudukan yang sama. Ke mana perginya “kontrak sosial”?
Ringkasnya mereka mahukan atau mahu menghapuskan apa yang ada pada orang Melayu tetapi mereka tidak mahu melepaskan apa yang ada pada mereka. Sanggupkah syarat kerakyatan dikaji semula? Sanggupkah syarikat-syarikat milik mereka dibuka kepada orang Melayu, baik sebagai pemilik saham, ahli Lembaga atau pengurusan atasan?
Kumpulan itu menjadi lebih berani kerana:
1. Mereka telah melihat orang Melayu berpecah-belah. Kumpulan majoriti telah menjadi minoriti.
2. Mereka telah berjaya mempengaruhi pemimpin-pemimpin parti-parti orang Melayu untuk bekerjasama dengan mereka.
3. Mereka telah berjaya memanfaatkan pengundi Melayu yang menentang BN yang tidak sedar bahawa mereka diperalatkan.
4. Ketiadaan tindakan terhadap mereka dilihat sebagai kelemahan Kerajaan.
5. Pemansuhan Perisytiharan Darurat dan undang-undang yang dibuat di bawahnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan pengumuman bahawa Akta Hasutan 1948 juga akan dimansuhkan dilihat sebagai satu kemenangan mereka. Mereka telah sekian lama menuntut perkara itu dilakukan dan mereka berjaya sekarang.
6. Persepsi rasuah di kalangan pemimpin politik Kerajaan yang tinggi memudahkan orang ramai percayai hasutan mereka.
Pada masa yang sama, Kerajaan semakin mengambil sikap lebih lembut dan “liberal”, mungkin dalam usaha untuk memenangi semula sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu yang telah lari kepada pembangkang. Jika itulah tujuannya, nyata sekali bahawa harapan itu adalah satu kesilapan. Bukan sahaja mereka tidak kembali dan tidak berterima kasih, tetapi mereka melihatnya sebagai satu kelemahan di pihak Kerajaan dan kejayaan bagi mereka.
Saya boleh faham mengapa Perisytiharan Darurat dan undang-undang yang dibuat di bawahnya dimansuhkan.
Dalam tahun 1970an, seorang Hakim dari Afrika yang datang ke Malaysia untuk menghadiri satu persidangan undang-undang bertanya kepada saya: “Malaysia berada dalam keadaan darurat bukan? Saya tidak lihat sekatan jalan raya oleh tentera mahupun kereta kebal di jalan raya.” Saya jawab, “Ya, itu darurat di Malaysia. Bayangkan jika tidak.” Untuk mengatakan selepas tahun 2000 kita masih berada di bawah keadaan darurat adalah tidak munasabah. Demikian juga melaksanakan undang-undang yang dibuat khas untuk menangani keadaan semasa darurat juga sukar untuk dibela walau pun dari segi undang-undang ia adalah sah.
Tetapi, saya dapati sukar sedikit untuk memahami mengapa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) juga turut dimansuhkan. Perlu diambil perhatian bahawa ISA bukanlah satu undang-undang yang dibuat di bawah peruntukan Perkara 150, ia itu semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa. ISA dibuat di bawah Perkara 149 yang membolehkan undang-undang seperti ISA dibuat untuk menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.
Memanglah undang-undang yang membolehkan penangkapan dan tahanan tanpa perbicaraan bukanlah undang-undang yang baik. Tetapi, sudahkah kita lupa Mei 13? Adakah keadaan yang menggugat ketenteraman negara, tidak kira oleh siapa, komunis, militan Islam, kumpulan pelampau dan lain-lain sudah tidak ada lagi? Mana lebih baik ISA atau Guantanamo (Untuk perbincangan mengenai ISA dan Guantanamo, sila baca ucapan dan kertas kerja saya bertajuk “Conflict of Interests Between Different Basic Rights” dan “Legal and Judicial Transformation in Malaysia” yang boleh didapati dalam lman web saya.)
Saya faham bahawa Kerajaan mahu melihat Malaysia berada di kedudukan yang baik di mata dunia. Tetapi, Singapura yang mengekalkan ISA, berada di kedudukan yang lebih baik, hampir dalam semua hal. ISA bukanlah sebab utama yang menentukan kedudukan itu.
Sekarang ISA telah “digantikan” dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Secara ringkas, perbezaan utama di antara keduanya ialah ISA membolehkan tahanan tanpa perbicaraan. (Tetapi tangkapan dan penahanan itu boleh dicabar di mahkamah melalui semakan kehakiman (judicial review)). Sebaliknya, di bawah SOSMA seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah akta itu mestilah dituduh di mahkamah atas tuduhan tertentu dan dibicarakan sama seperi kes jenayah lain.
Setakat ini sebanyak 38 orang telah dihadapkan ke mahkmah di bawah SOSMA, dengan 30 daripadanya di Lahat Datu. Perbicaraan sedang berjalan. Pendakwaan dilakukan oleh Peguam Negara sendiri. Kebanayakan pertuduhan adalah di bawah Chapter VIA Kanun Keseksaan yakni kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan keganasan (offences relating to terrorism).
Ertinya “terrorism” yang memungkinkan kewujudan ISA masih ada. Apa yang dilakukan sekarang memang cantik di atas kertas. Tetapi soalnya, mampukan SOSMA menangani masalah terrorism? Dari segi kesalahan-kesalahan yang diwujudkan ia nampaknya lengkap. Soalnya, dapatkah pertuduhan-pertuduhan itu dibuktikan? Sama-samalah kita melihat perkembangannya.
Bagi saya ukurannya bukan sangat ISA ada atau tidak tetapi bagaimana ia dilaksanakan. Undang-undang apa pun boleh disalahgunakan. ISA pun jika dilaksanakan dengan berhemah dan menepati peraturan-peraturannya, boleh membawa hasil yang lebih baik dari SOSMA jika SOSMA disalahgunakan.
Sebaliknya, jika SOSMA dilaksanakan dengan berhemah dan ia memberi kesan yang serupa, tentulah SOSMA lebih baik.
Selain daripada itu Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah juga mengumumkan bahawa Akta Hasutan 1948 juga akan dimansuhkan.
Akta ini dibuat oleh British apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan British. Secara ringkas, ia mengandungi kesalahan-kesalahan kerana menghasut untuk membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada Raja atau Kerajaan, menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara yang tak sah, menghasut orang supaya benci kepada pentadbiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Malaysia, mengembangkan perasaan permusuhan antara kaum. Seksyen 3(1)(f) memperuntukkan:
“…….mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181
Perlembagaan Persekutuan.”
Bahagian III adalah mengenai kewarganegaraan. Perkara 152 ialah mengenai Bahasa Kebangsaan. Perkara 153 adalah mengenai “perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak.
Peruntukan ini dimasukkan akibat peristiwa 13 Mei. Ringkasnya, ia menghalang sesiapa sahaja daripada mempersoalkan perkara-perkara yang disebutkan itu untuk mengelak daripada berulangnya peristiwa 13 Mei.
Bagi saya, perwujudan seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan itu adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak Bin Hussain. Maka kepada anaknya saya berseru: Janganlah mansuhkan apa yang ayah anda telah lakukan. Saya khuatir kiranya beliau tidak akan memaafkan anda kerananya.
Bagaimana dengan RUU Harmoni yang JPNIN sedang buat itu?
Mereka mengaitkan Akta Hasutan dengan RUU Harmoni. RUU Harmoni akan menggantikan Akta Hasutan seperti mana SOSMA menggantikan ISA. Ertinya, mengikut mereka, untuk mencapai perpaduan dan harmoni (“perpaduan”) Akta Hasutan perlulah dimansuhkan kerana ia menjadi penghalang perpaduan. Dalam kata-kata lain, berikan kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk menghasut orang ramai supaya membenci Raja, menghapuskan sistem beraja, mempersoalkan kedudukan Bahasa Melayu sebagi Bahasa Kebangsaan, mempersoalkan hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kerakyatan, perpaduan akan tercapai. Lojik apa ini? Ia samalah dengan lojik seorang yang berkata “Kalau mahu tebuan berada di dalam sarangnya, jolokkan sarangnya.” Cubalah!
Maka kita perlu faham bahawa alasan bahawa Akta Hasutan perlu dimansuhkan demi untuk mencapai perpaduan itu tidak berasas langsung. Ia hanyalah helah untuk memansuhkan Akta Hasutan oleh orang-orang yang tidak sukakannya. Apatah lagi yang menggubalnya adalah Majlis Peguam. Itulah yang mereka mahu. Diberi peluang, terus mereka memanfaatkannya. Kita jangan terperangkap dengan helah seperti itu.
Apa untungnya orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak jika larangan- larangan mempersoalkan hak-hak yang diberi kepada mereka oleh Perkara 153 itu dihapuskan? Apakah untungnya orang Melayu jika hasutan mengenai kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dibenarkan? Yang untung hanyalah orang-orang yang tidak suka peruntukan-peruntukan itu. Tanpa Akta Hasutan mereka bebas menghasut orang ramai untuk menghapuskan pemerintahan Raja Berperlembagaan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, hak-hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Itu kita mesti faham.
Selain dari itu, ada beberapa perkara yang sangat menghairankan saya mengenai usaha menggubal RUU Harmoni untuk menggantikan Akta Hasutan itu. Pertama, Akta Hasutan terletak di bawah portfolio Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang Menterinya ialah Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Sepatutnya, semua perkara yang berkenaan dengan akta itu, sama ada hendak memindanya atau memansuhkannya, hendaklah datangnya daripada kementerian itu. Ini penting bukan sahaja kerana akta itu terletak di bawah kementerian itu, tetapi kerana kementerian itu mempunyai maklumat-maklumat, termasuk maklumat rahsia, mengenai ketenteraman negara yang akan menentukan dasar mengenainya.
Soalan saya: Mengapa dalam hal ini tugas itu diambil alih oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang menterinya Tan Sri Joseph Kurup yang nampaknya bekerjasama dengan Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri? Adakah satu “rampasan” (highjacking) berlaku di sini?
Mengikut prosedur biasa, penetapan dasar dilakukan oleh kementerian berkenaan sebelum ia diputuskan oleh Kabinet. Dalam hal ini, penentuan dasar, sekurang- kurangnya di peringkat permulaan, diserahkan kepada JUU&D yang ditubuhkan oleh MKPN yang di tubuh pula oleh JPNIN. Pengerusi JUU&D adalah YB Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen PAS Parit Buntar dan Timbalan Pengerusinya adalah Lim Chee Wee, mantan Presiden Majlis Peguam. Kita semua tahu bahawa Majlis Peguam adalah penyokong kuat parti-parti pembangkang terutama sekali DAP dan PKR. Adakah ini “rampasan” (highjaking) yang kedua?
Mengikut prosedur biasa juga, setelah dasar ditentukan oleh kementerian berkenaan, penggubalan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara. Dalam hal ini, penggubalan dilakukan oleh Majlis Peguam. Adakah ini “rampasan” (highjaking) yang ketiga?
Disebabkan oleh kesuntukan masa, untuk tujuan wacana ini, memadailah jika saya memberi dua misalan mengenai isi kandungan RUU Harmoni.
Pertama, rang undang-undang itu menekankan peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 2(i) National Harmony and Reconciliation Bill mengatakan bahawa tujuan rang undang-undang itu adalah:
“2(i) To give effect to the letter and spirit of the Federal Constitution, in particular Article 8.”
“Untuk memberi kesan kepada apa yang tertulis dan semangat Perlembagaan Persekutuan, khususnya perkara 8.” – (Terjemahan saya.) Apa kata Perkara 8? Perkara 8(1) memperuntukkan:
“8. (1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang- undang.”
Itulah yang mereka mahu mahkamah memberi keutamaan dalam mentafsir atau memakai (interpretation or application) undang-undang itu jika ada kes.
Sepanjang ingatan saya, saya belum penah temui satu akta yang memperuntukkan bahawa sesuatu perkara dalam Perlembagaan itu kena diberi perhatian yang lebih daripada yang lain-lain. Dari situ kita dapat lihat tujuan mereka yang tersirat.
Kedua, nampaknya matlamat utama penggubal RUU Harmoni adalah untuk memansuhkan Akta Hasutan. Seksyen 8(1), Draft Racial and Religious Hate Crimes Bill memperuntukkan:
“8(1) The Sedition Act 1948 [Act No. 15] is repealed.”
Siapakah yang membuat tuntutan supaya Akta Hasutan dimansuhkan? Tidakkah apa yang hendak dilakukan itu untuk memenuhi kehendak mereka?
Patutkah Akta Hasutan dimansuhkan? Jawapan saya: tidak. Patutkah ia dipinda? Jawapan saya: Ya. Apakah pindaan yang perlu dibuat? Jawapan saya: Masukkan Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Malaysia (agama Islam) ke dalam seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan. Sekarang menghasut terhadap kedudukan agama Islam bukanlah satu kesalahan di bawah Akta Hasutan. Mungkin kerana itu, mereka sangat berani. Semua orang Islam, sama ada dalam UMNO, PAS, PKR, NGO dan individu hendaklah bersatu dalam hal ini.
Kedua, pada pandangan saya, adalah lebih baik bagi kerajaan kiranya kesalahan menghasut terhadap kerajaan dimansuhkan. Maksud saya hanya mengenai kerajaan tetapi terhadap Raja mestilah dikekalkan. Ini lebih demokratik, lebih telus dan lebih terbuka. Hari ini pun, walaupun larangan itu ada, setakat yang saya tahu, kerajaan tidak pernah mengambil tindakan terhadap orang yang mengkritiknya kerana itu sebahagian daripada proses demokrasi. Untuk apa dikekalkan peruntukan itu?
Pada pandangan saya, itulah pendirian yang semua orang Islam, parti politik Islam dan NGO Islam, patut ambil.
Kita bukan mahukan hak orang lain. Kita bukan menuntut supaya Perlembagaan dirombak kerana kita mahu lebih. Kita cuma mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Kita cuma mahu apa yang telah dipersetujui dikekalkan untuk mengekalkan perpaduan dan harmoni. Rasiskah kita?
Pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam, tidak kira dalam parti mana hendaklah bersatu dalam mempertahankan kepentingan bangsa, agama dan negara, dengan mempertahankan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Malaysia yang sedia ada. Caranya ialah dengan menguatkan Kerajaan Persekutuan. PAS patutlah bekerjasama dengan UMNO dan BN di peringkat pusat. Di peringkat negeri ia boleh kekal seperti sekarang. Saya membuat seruan ini kerana saya percaya bahawa, dalam keadaan sekarang, mengikut hemat saya, itu sahaja cara yang boleh kita mempertahankan Perlembagaan dan kepentingan bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia.
Anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak patut ingat bahawa apa yang menjamin nasib mereka ialah Perlembagaan Persekutuan dan mereka juga sepatutnya bersama mempertahankannya.
Sebenarnya semua pemimpin negara, tidak kira apa parti politiknya, apa bangsa dan agamanya, sama-sama mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia untuk kepentingan bersama.
Kesimpulannya:
1. Janganlah mansuh Akta Hasutan 1948.
2. Segala urusan mengenai Akta Hasutan hendaklah dilakukan oleh kementerian yang bertanggungjawab mengenainya ia itu KDN.
3. JPNIN tidak sepatutnya mengambil alih perkara yang terletak dalam bidang kuasa KDN dan Peguam Negara.
4. Prosedur biasa di mana Kementerian berkenaan menentukan dasar dan pengpenggubalan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara manakala keputusan muktamad dibuat oleh Kabinet hendaklah diikuti.
5. Akta Hasutan hendaklah dipinda untuk memasukkan Perkara 3 dan 11 (agama Islam) ke dalam seksyen 3(1)(f).
6. Eloklah kerajaan memikirkan untuk meminda Akta Hasutan untuk mengeluarkan kesalahan menghasut terhadap kerajaan supaya kerajaan nampak lebih telus, terbuka dan demokratik.
7. Ketepikan draf RUU yang dibuat oleh Majlis Peguam itu.
8. Jika JPNIN berfikir bahawa perpaduan boleh dicapai melalui undang-undang, sila sediakan drafnya. Ikutlah peraturan biasa.
9. Semua orang Melayu, Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan semua parti politik, NGO dan pertubuhan Melayu, Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak, hendaklah bersatu dalam hal ini.
10. Kita bukan hendak meminggir mana-mana kaum. Kita hanya hendak mempertahankan Perlembagaan supaya perpaduan akan berkekalan. Malah, kaum-kaum lain juga sepatutnya bersama-sama mempertahankan Perlembagaan kerana hanya dengan cara itu perpaduan dan harmoni dapat  dikekalkan.
Sekian. terima kasih."

p/s:Tulisan penuh Tun Abdul Hamid Mohamad boleh dibaca di http://mindatantawi.blogspot.com/2014/07/sebenarnya-semua-pemimpin-negara-tidak.html

Sabtu, 6 September 2014

Sudahkah bersedia untuk "bersetuju untuk berbeza"?

بسم الله الرحمن الرحيم

Istilah "bersetuju untuk tidak bersetuju" atau "agreeing to disagree" adalah satu frasa atau ungkapan dalam bahasa Inggeris merujuk kepada resolusi konflik (biasanya perdebatan atau pertengkaran) di mana semua pihak bertolak ansur tetapi tidak menerima kedudukan lawan. Ia biasanya berlaku apabila semua pihak sedar bahawa konflik akan menjadi tidak perlu, tidak berkesan atau selainnya tidak wajar. Mereka juga boleh kekal atas terma secara baik sambil terus tidak bersetuju tentang isu-isu yang tidak dapat diselesaikan.

Frasa "agree to disagree" atau "bersetuju untuk tidak bersetuju" pertama kali muncul di cetak pada tahun 1770 apabila, pada kematian George Whitefield (Pengkhutbah Gereja Anglikan, pekhabar Injil, dan tokoh pendiri Metodis), John Wesley (Ahli teologi Inggeris, tokoh pendiri Gereja Metodis.) menulis khutbah peringatan yang diakui, tetapi memandang ringan, perbezaan doktrin dua lelaki:
     "Terdapat banyak doktrin-doktrin yang bersifat kurang penting ... Dalam kita boleh berfikir dan biarkan berfikir, kita mungkin 'bersetuju untuk tidak bersetuju.' Tetapi, pada itu, marilah kita berpegang mempercepatkan yang penting ... "

Wesley adalah yang pertama untuk meletakkan frasa "bersetuju untuk tidak bersetuju" dalam media cetak, tetapi ia disertakan dalam tanda petikan. Dalam surat seterusnya kepada saudaranya Charles, Wesley dikaitkan kepada Whitefield (mungkin George Whitefield): "Jika anda bersetuju dengan saya, juga: jika tidak, kita boleh, sebagai Encik Whitefield pernah berkata, bersetuju untuk tidak bersetuju." Whitefield telah digunakan dalam surat seawal 29 Jun 1750.
"Lagipun, mereka yang akan hidup dengan aman mesti bersetuju untuk tidak bersetuju dalam banyak perkara dengan rakan-rakan-pekerja mereka, dan tidak membiarkan perkara-perkara kecil menceraikan atau memecah belahkan mereka." 

Frasa "agree to differ" atau "bersetuju untuk berbeza" mendahului "bersetuju untuk tidak bersetuju", setelah muncul dalam khutbah oleh John Piggott (Ahli Majlis Perhimpunan Tasmania.): "Dan sekarang mengapa kita tidak bersetuju untuk berbeza, tanpa ada permusuhan atau cemuhan?" (Khutbah di Kesatuan dan Keamanan, berkhutbah kepada beberapa Jemaah, April 17, 1704). Ia meluahkan idea yang sama tanpa bermain pada kata-kata.

Kesempatan ke atas "bersetuju untuk tidak bersetuju" ialah ia tidak menimbulkan percanggahan logik jelas. Teoris permainan dan matematik, Robert Aumann berhujah bahawa dua orang dengan kebarangkalian sebelum biasa tidak boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. Walau bagaimanapun, isu-isu perjanjian dan percanggahan pendapat adalah mengenai kebimbangan berasingan. Oleh itu, ungkapan sebenarnya bukan percanggahan, apabila bahagian-bahagian yang tersirat dimasukkan: "bersetuju [pada dasarnya] untuk tidak bersetuju [mengenai isu-isu lain]". Kata-kata yang boleh dianggap sebagai satu bentuk frasa elips, di mana bahagian-bahagian yang ditinggalkan, dua kebimbangan berasingan, akan membantu untuk menjelaskan maksudnya frasa pendek. Perjanjian itu adalah satu strategi jangka panjang, sebagai pandangan yang dikongsi daripada pihak menentang, untuk meninggalkan perbezaan pendapat, tentang isu-isu lain, sebagai perkara yang tidak dapat diselesaikan.

Ahli ekonomi, Frank J. Fabozzi berhujah bahawa ia tidak rasional bagi pelabur untuk bersetuju untuk tidak bersetuju; mereka mesti berusaha ke arah konsensus, walaupun mereka mempunyai maklumat yang berbeza. Bagi pelaburan kewangan, Fabozzi menegaskan bahawa keyakinan melampau atau terlalu yakin seorang pelabur dalam kebolehannya (tidak rasional) boleh membawa kepada "bersetuju untuk tidak bersetuju"- dia fikir dia lebih bijak daripada yang lain.

Satu frasa yang berkaitan, biasanya dikhaskan untuk urusan rasmi dan sementara dalam hal ehwal politik, adalah frasa Latin "modus vivendi" (secara harfiah, "cara hidup"), dan ia digunakan dengan cara yang sama sebagai "bersetuju untuk tidak bersetuju". Walau bagaimanapun, ia boleh dilihat sebagai pemikiran-menamatkan klise dalam keadaan tertentu.

Cukup kot sekadar sepintas lalu cerita “bersetuju untuk tidak bersetuju”. Mai kita tengok cerita “bersetuju untuk tidak bersetuju” dalam negara kita.

Ungkapan atau slogan “bersetuju untuk tidak bersetuju” mula menjadi masyhur bila PR berpakat. Biarlah depa berpakat. Lepas satu drama, drama; lepas satu episod, episod. Cerita yang penuh dengan krisis rumah tangga, anak-anak berebut nak bahagian dan macam-macam plot yang entah apa tujunya, entah mana tujunya.

Persoalannya; adakah depa berpakat sungguh? Atau berpakat untuk tidak sepakat? Ke mana perginya laungan “bersetuju untuk tidak bersetuju” yang dilaung dulu? 

Dari episod 1 sampai lani tak mempertontonkan kebersetujuan depa untuk “bersetuju untuk tidak bersetuju”. Ceritanya membosankan sebab terlalu banyak sangat  telunjuk menunjuknya, provokasinya, cakap banyak kerja tak dak.

Samada “bersetuju untuk tidak bersetuju” atau tak “bersetuju untuk tidak bersetuju”, realitinya mainan politik tanah air makin lalut dan karut. Sebagai rakyat yang melihat, apa boleh buat!?    

Rabu, 3 September 2014

Kenapa PPS diharamkan?

بسم الله الرحمن الرحيم

Oleh Prof. Salleh Buang.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjKQwXoFlgrACpNK9GsDTvVg52WJmnN3ZBcwUHGz_lvptSldhvZpvRoBGVyS8-wrlPI8OLSx8JcuN9tJ8h9IIZC57mDItGkUSTj7vFyIsxK8tCwOcHoyyAwJIJlWeLEZRKNvx1Xaq8j5V8H/s1600/pps3.jpg

SEPERTI dijangka dari awal lagi, isu penahanan 156 anggota Pasukan Peronda Sukarelawan (PPS) pada 31 Ogos lalu terus hangat diperkatakan, terutama sekali setelah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar untuk berdebat secara terbuka dengannya mengenai penubuhan PPS itu.
Guan Eng secara terbuka mengecam tindakan polis menahan anggota PPS itu, sambil menyifatkan tindakan Khalid itu sebagai menyalahgunakan kuasa. Beliau turut bertanya apakah pihak polis akan turut menahannya sama seperti polis menahan Exco yang menjaga hal ehwal PPS, iaitu Phee Boon Poh?
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, memberitahu bahawa polis sedang memburu saki baki anggota PPS yang dianggarkan berjumlah lebih 9,000 orang.
Rahim mendedahkan bahawa 11 anggota PPS dari 156 orang yang ditahan polis pada 31 Ogos itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau - antaranya melibatkan jenayah cubaan membunuh, ahli kongsi gelap, penyalahgunaan dadah, kesalahan di bawah Akta Kastam dan kesalahan di bawah Ordinan Darurat 1969.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menasihatkan kerajaan Pulau Pinang membubarkan PPS kerana badan itu merupakan satu pertubuhan haram yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Satu entiti haram
Justeru pada sambutan Hari Kemerdekaan lalu, Polis menahan 156 anggota PPS semasa mereka mengambil bahagian dalam perayaan Merdeka di peringkat negeri Pulau Pinang. Menjelaskan rasional tindakan polis itu, Khalid menyatakan bahawa PPS dianggap satu entiti haram di bawah Seksyen 41 Akta Pertubuhan kerana ia tidak didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan.
Guan Eng sebaliknya mempertahankan bahawa PPS adalah satu organisasi yang sah kerana ia ditubuhkan oleh kerajaan negeri. Selama empat tahun PPS tidak berdepan dengan apa-apa masalah dari pihak polis kecuali satu dua insiden, di mana tindakan tatatertib telah pun diambil oleh kerajaan negeri dan mereka yang bersalah telah pun dihukum.
Sehari sebelumnya, pada 30 Ogos, Guan Eng menegaskan bahawa anggota PPS akan tetap mengambil bahagian dalam perayaan sambutan Merdeka itu, walaupun telah diberi amaran oleh polis bahawa sesiapa sahaja dalam kalangan anggota PPS yang menyertai perarakan itu akan ditangkap.
Di bawah Seksyen 41 Akta Pertubuhan, satu pertubuhan itu menjadi pertubuhan haram (unlawful society) sekiranya ia tidak didaftarkan di bawah Seksyen 7.
Mengikut Seksyen 2, istilah "pertubuhan" diberi takrif yang luas, meliputi antara lain "kelab, syarikat, perkongsian atau persatuan tujuh orang ahli atau lebih, tidak kira apa pun sifat atau matlamatnya, sama ada sementara atau berkekalan", tetapi tidak termasuk beberapa entiti yang disebutkan secara nyata dalam seksyen itu.
Menjadi pegawai satu pertubuhan haram adalah salah di bawah Seksyen 42 - boleh dihukum penjara selama 5 tahun, denda RM15,00 atau kedua-duanya sekali. Menjadi ahli pertubuhan haram juga satu kesalahan di bawah Seksyen 43 - boleh dihukum penjara 3 tahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Perbuatan mendorong, menggalakkan atau mempelawa orang lain untuk menjadi ahli atau menyertai satu pertubuhan haram juga satu kesalahan di bawah Seksyen 45 - boleh dihukum penjara 4 tahun, denda RM15,000 atau kedua-duanya sekali.
Ini bermakna bukan hanya pegawai dan ahli PPS yang boleh ditangkap, ditahan dan didakwa di mahkamah di bawah Akta Pertubuhan. Mana-mana orang (termasuk ahli Exco kerajaan atau Ketua Menteri sekali) yang sengaja mendorong, menggalakkan atau mempelawa (incite, induce or invite") orang awam lain menyertai PPS juga boleh dikenakan prosiding jenayah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman.
Kenapa Pulau Pinang perlukan PPS?
Mengikut Exco kerajaan negeri, Phee Boon Poh, PPS ditubuhkan oleh kerajaan negeri pada 8 April 2009 untuk membantu kerja "community policing" disebabkan Kerajaan Persekutuan tidak begitu berminat melayan permintaan kerajaan negeri untuk meningkatkan Rukun Tetangga dan Rela Corp demi keselamatan negeri.
Pihak yang menyokong penubuhan PPS ini menyatakan bahawa disebabkan kekurangan polis menjaga keamanan di negeri ini, orang awam terpaksa membuat rondaan secara sukarela. Apabila suatu jenayah berlaku, para sukarelawan inilah yang kadangkala sampai dulu ke tempat kejadian jenayah, dan mereka dibenarkan oleh undang-undang menjalankan "citizen's arrest".
Tidak semua yang berpendapat sedemikian itu. Ada yang berkata bahawa negara ini sudahpun ada PDRM, ada Rela, ada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk membantu rakyat negara ini dan menjalankan tugas menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat. Selain itu, Guan Eng sendiri telah pun mengakui bahawa Pulau Pinang telah mencatatkan penurunan kadar jenayahnya selama ini - iaitu 27% pada tahun 2010 dan 25% dalam 6 bulan pertama tahun 2011.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga telah mengakui bahawa penurunan kadar jenayah di negeri adalah hasil kerja kuat PDRM, serta pemasangan CCTV dan penyertaan anggota masyarakat. Jadi apa perlunya lagi diwujudkan PPS?
Isu patut diselesaikan lama dulu
Pengerusi Majlis Peguam Negeri Pulau Pinang, Abdul Fareed Abdul Gafoor, berpendapat isu PPS itu sepatutnya diselesaikan lama dulu lagi. Pada pendapatnya, PPS sepatutnya didaftarkan dengan ROS sebaik sahaja ia diwujudkan oleh kerajaan negeri.
Mengikut Fareed, kerajaan negeri mendakwa PPS ini tertakluk kepada bidang kuasanya. Tetapi tidak ada satu pun undang-undang negeri yang ada menyatakan sedemikian itu. Andainya kerajaan negeri berkeras menyatakan PPS di bawah bidang kuasanya dan PDRM telah bertindak salah terhadapnya, ia perlu mendapatkan perisytiharan dari mahkamah.
Pada hemat saya, persoalan utama dalam isu PPS ini adalah sekalipun ia didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan, apakah fungsinya boleh meliputi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam? Bolehkah ROS membenarkan satu pertubuhan di negara ini menjalankan fungsi sedemikian itu?
Andainya kita semak secara terperinci Jadual ke Sembilan Perlembagaan Persekutuan, kita akan dapati bahawa dalam Item 3 Senarai I (iaitu Senarai Persekutuan) bahawa "Internal security, including - (a) Police …. Public order" adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Pusat, bukan kerajaan negeri.
Jelas sekali, sebuah kerajaan negeri seperti Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak ada kuasa di sisi Perlembagaan Persekutuan untuk menubuhkan apa-apa badan atau pertubuhan yang fungsinya seperti polis, iaitu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Kerja berkaitan keselamatan, kepolisan dan ketenteraman awam adalah kerja PDRM. PPS, yang ditubuhkan sebagai pertubuhan ala polis oleh Guan Eng, adalah jelas sekali haram di sisi undang-undang negara.
PENULIS ialah Penganalisis Undang-undang

Selasa, 2 September 2014

اَفْكَاْر طَنْطَاوِيّ: Chedet - MENEGUR.

اَفْكَاْر طَنْطَاوِيّ: Chedet - MENEGUR.: بسم الله الرحمن الرحيم 1. Ada orang yang memberitahu kepada Dato Seri Najib Tun Razak yang saya telah memburukkan pemerintahannya. ...